Lebih daripada 10,000 jawatan kosong terkini di seluruh Malaysia
Kenapa Proses Pengambilan Kerja Mengambil Masa Lama?
12 Mac 2020   –   Rosalinda
Sudah seminggu temuduga anda berlalu namun masih tiada sebarang maklum balas diterima. Berdasarkan janji pihak perekrut/majikan, calon yang terpilih akan dihubungi seawal mungkin dalam minggu sama atau paling lewat sehingga hujung bulan.
Walaupun telah melepasi tarikh-tarikh dijanjikan, anda masih belum menerima khabar gembira. Atau mungkinkah anda tidak akan menerima apa-apa langsung khabar gembira daripada mereka?
Apa yang mustahak jangan sesekali menghentikan misi pencarian kerja anda sepanjang tempoh menunggu jawapan itu. Terus aktifkan momentum tersebut sehingga anda ditawarkan kerjaya yang setimpal dengan jawatan dan gaji dipohon.
Tiada khabar gembira daripada perekrut/majikan bukan petanda anda gagal dalam pencarian kerja yang dilakukan. Boleh jadi mereka memerlukan lebih banyak masa dalam pemilihan calon untuk mengisi kekosongan tersebut atas faktor-faktor seperti di bawah:
1. Ketiadaan pegawai terlibat
Urusan pengambilan kerja kebiasaannya melibatkan beberapa pegawai dan mungkin kerja-kerja itu tertangguh seketika disebabkan salah seorang daripadanya tidak berada di pejabat kerana tugasan luar daerah, bercuti, kematian ahli keluarga mahu pun telah menamatkan perkhidmatan.
2. Sesi temuduga yang panjang
Sesi temu duga mungkin dilanjutkan kerana ada calon-calon yang menunda jadual mereka.
3. Temuduga peringkat kedua
Perekrut boleh mengatur temuduga kali kedua, ketiga atau keempat membabitkan calon-calon yang kurang cemerlang semasa sesi pertama. Proses tapisan calon yang bakal dipanggil semula tentunya akan memakan masa panjang kerana melibatkan mesyuarat, beberapa siri perbincangan, makluman menerusi email dan lain-lain lagi.
4. Proses penilaian
Proses ini tentunya mengambil masa kerana pegawai akan melakukan pemeriksaan rujukan dan latar belakang pemohon.
5. Majikan iklankan semula kekosongan
Jika masih tidak menemui calon pekerja yang dimahukan, majikan mungkin akan mempertimbangkan untuk mengiklankan semula jawatan kosong itu.
6. Mempunyai calon lain
Anda mungkin pilihan kedua majikan jadi proses tawaran kerja tergendala kerana mereka menunggu maklum balas daripada calon pilihan pertama.
#Tips Buat Susulan Selepas Temuduga:
  • Mulakan dengan hantar email terima kasih kepada penemuduga dalam tempoh 24 jam selepas sesi itu diadakan.
  • Diikuti dengan susulan secara berhemah yang boleh dilakukan dalam tempoh 10 ke 14 hari selepas ditemuduga. Susulan boleh dibuat menerusi kiriman email atau panggilan telefon.
  • Tempoh purata untuk pemohon ditawarkan bekerja selepas ditemuduga adalah 42 hari. Satu lagi kajian mendedahkan tempoh purata sebanyak 27 hari namun angka ini berbeza-beza mengikut negara dan jenis kerjaya.

Rosalinda merupakan penulis kandungan yang menulis mengenai kerjaya, gaya hidup dan isu trending.
Rosalinda juga seorang penggemar aiskrim dan kek.
Hubungi saya: [email protected]