Gelombang kedua penularan wabak Covid-19 menyebabkan beberapa majikan di negara ini terpaksa menawarkan
cuti tanpa gaji kepada kakitangan mereka.
Tawaran secara sukarela itu dilaksanakan dua syarikat penerbangan negara iaitu Malaysia Aviation Group (MAG)
dan Malindo Air susulan permintaan perkhidmatan yang terjejas akibat pandemik tersebut.
MAG dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata, seramai 13,000 kakitangannya diberi pilihan untuk
mengambil cuti selama lima hari tanpa gaji dalam tempoh sebulan sekurang-kurangnya tiga bulan atau satu
hingga tiga bulan.
Langkah itu dibuat selang tiga hari selepas pengumuman pengurangan 10 peratus gaji serta elaun pengurusan
kanan semua syarikat di bawahnya selama tiga bulan bermula bulan ini dan ia mungkin akan diteruskan jika
aliran kewangan kumpulan masih terkesan.
Manakala Malindo Air pula mengarahkan kakitangannya mengambil cuti dua minggu tanpa gaji dan potongan gaji
50 peratus sebagai langkah untuk menghadapi kekurangan pendapatan.
Anak syarikat Lion Air Group yang berpangkalan di Indonesia itu turut menggantung penerbangan serta merayu
pembekal untuk menangguhkan bayaran.
Bagi Kumpulan AirAsia, potongan gaji yang bakal dilaksanakan nanti dijamin tidak akan memberi kesan
langsung atau kesan minimum kepada semua pekerja terutama dalam kalangan yang berpendapatan rendah.
Ancaman wabak Covid-19 bukan sahaja menyebabkan syarikat penerbangan serantau mengalami kelembapan
permintaan perjalanan udara malah, turut mengganggu pertumbuhan ekonomi global.
Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus dalam sidang akhbar pada Rabu berkata, pertumbuhan
ekonomi Malaysia pada suku pertama tahun ini dijangka terjejas oleh Covid-19 berikutan kemerosotan
kemasukan pelancong asing di samping perbelanjaan terhadap hotel, runcit, pengangkutan dan restoran
yang rendah.
Hakikatnya, tidak mustahil langkah cuti tanpa gaji yang ketika ini dilaksanakan syarikat-syarikat
penerbangan negara akan berjangkit kepada organisasi lain pula berikutan kerugian perniagaan yang
dialami.
Oleh itu, semua pihak perlu bersedia dengan segala kemungkinan termasuk risiko pemberhentian pekerjaan
sekiranya Covid-19 masih belum pulih.
Rosalinda merupakan penulis kandungan yang menulis mengenai kerjaya, gaya hidup dan isu trending.
Rosalinda juga seorang penggemar aiskrim dan kek.